Semporna, 2 Mei 2019 – Seramai lebih 80 wakil agensi kerajaan, komuniti, guru-guru dan para pelajar sekolah telah menghadiri Bengkel Modul dan Boardgames Pendidikan Alam Sekitar Bagi Persekitaran Marin untuk Komuniti di Sabah pada hari ini. Bengkel berkenaan adalah sebahagian daripada siri lima bengkel dan telah dirasmikan oleh Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Yang Berhormat Tuan Assaffal Bin P. Alian.

Jabatan Perlindungan Alam Sekitar bersama-sama dengan WWF-Malaysia telah melaksanakan empat bengkel sebelum ini iaitu di Kota Kinabalu, Kudat, Tawau dan Sandakan dan bengkel di Semporna pada hari ini melengkapkan siri jelajah bagi membolehkan para pelajar, guru-guru, wakil-wakil komuniti serta agensi kerajaan di daerah-daerah berkenaan mengambil bahagian menggunakan modul dan boardgames berkenaan.

Satu modul dan empat boardgames pendidikan persekitaran marin telah dihasilkan sebagai output “Kajian Modul dan Boardgames Pendidikan Alam Sekitar Bagi Persekitaran Marin untuk Komuniti di Sabah” bermula pada bulan Julai 2017 dan dijangka berakhir pada Jun 2019. Kajian dilaksanakan oleh Jabatan Perlindungan Alam Sekitar Sabah melalui WWF-Malaysia dan kawasan kajian meliputi empat buah daerah di Sabah iaitu Tawau, Sandakan, Kudat dan Semporna.

Yang Berhormat Tuan Assaffal Bin P. Alian menekankan bahawa dalam usaha melindungi dan memulihara alam sekitar, bukan pihak kerajaan sahaja yang harus dipertanggungjawabkan, tetapi semua golongan masyarakat perlu melaksanakan tanggungjawab masing-masing bagi meningkatkan kesedaran dan mengambil tindakan untuk melindungi alam sekitar.

“Persekitaran marin memberikan pelbagai kepentingan seperti sumber pendapatan, sumber makanan, warisan semula jadi dari segi flora dan fauna, rekreasi dan pelancongan, sebagai identiti komuniti serta sumber inspirasi untuk kesenian,” tambah beliau.

Menurut beliau, penyertaan komuniti setempat dalam membantu usaha perlindungan dan pemuliharaan amatlah penting demi menjadikan hidupan marin di Negeri Sabah sebagai lokasi ikon pelancongan yang kaya dengan keindahan ekosistem lautnya.

“Memang tidak dapat dinafikan lagi bahawa Daerah Semporna mempunyai khazanah alam yang tidak terkata keindahannya seperti Taman Marin Tun Sakaran yang terletak di Teluk Darvel. Taman marin ini adalah terdiri daripada lapan pulau iaitu Bodgaya, Boheydulang, Tetagan, Selakan, Sebangkat, Maiga, Sibuan dan juga Mantabuan. Keunikan dan keindahan Taman Marin Tun Sakaran adalah antara daya tarikan pelancong ke negeri ini,” kata beliau.

Yang Berhormat Tuan Assaffal Bin P. Alian juga menyatakan bahawa usaha bagi mempertingkatkan pengetahuan dan kesedaran komuniti terhadap kepentingan pendidikan alam sekitar perlu diteruskan dan menyeru semua pihak mengambil tindakan yang sewajarnya untuk menjaga kesejahteraan alam sekitar.

Wisma Budaya, 1-3 Floor, Tunku Abdul Rahman Road, Locked Bag 2078, 88999 Kota Kinabalu, Sabah.

TELEPHONE : +60 88 251 290 / 251 291

FAX : +60 88 238 120

EMAIL: jpas@sabah.gov.my

Disclaimer:  The Department shall not be liable for any loss or damage caused by the usage of any information obtained from this Website

BEST VIEWED WITH CHROME, MINIMUM RESOLUTION OF 1024 X 768

PRIVACY POLICY

SECURITY POLICY

WEBSITE LAST UPDATED ON 16 AUGUST 2019