Bengkel Modul Dan Boardgames Pendidikan Alam Sekitar Bagi Persekitaran Marin Untuk Komuniti Di Sabah (Sandakan)

Sandakan, 25 April 2019 – Seramai lebih 50 wakil agensi kerajaan, komuniti, guru-guru dan para pelajar sekolah telah menghadiri Bengkel Modul dan Boardgames Pendidikan Alam Sekitar Bagi Persekitaran Marin untuk Komuniti di Sabah pada hari ini yang dilaksanakan sempena sambutan Hari Bumi 2019. Bengkel berkenaan adalah sebahagian daripada siri bengkel yang telah dirasmikan oleh Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Yang Berhormat Tuan Assaffal Bin P. Alian baru-baru ini di Kota Kinabalu.

Bengkel ini diadakan di Rainforest Discovery Centre, Sepilok, Sandakan untuk memberi peluang kepada para pelajar, guru-guru, komuniti serta agensi kerajaan di Daerah Sandakan menggunakan modul dan boardgames berkenaan.

Dalam ucapan alu-aluan Pengarah Jabatan Perlindungan Alam Sekitar Sabah yang telah disampaikan oleh wakil beliau Dr. Susan Pudin, beliau telah menyatakan bahawa satu modul dan empat boardgames pendidikan persekitaran marin telah dihasilkan sebagai output “Kajian Modul dan Boardgames Pendidikan Alam Sekitar Bagi Persekitaran Marin untuk Komuniti di Sabah” yang bermula pada bulan Julai 2017 dan dijangka berakhir pada Jun 2019. Kajian dilaksanakan oleh Jabatan Perlindungan Alam Sekitar Sabah melalui WWF-Malaysia dan kawasan kajian meliputi empat buah daerah di Sabah iaitu Tawau, Sandakan, Kudat dan Semporna.

“Setiap lapisan masyarakat memainkan peranan penting dalam melaksanakan tanggungjawab masing-masing dan perlu turut serta menjayakan aktiviti menjaga, melindungi dan memulihara alam sekitar,” kata beliau.

Menurut beliau, penyertaan komuniti setempat dalam membantu usaha perlindungan dan pemuliharaan amatlah penting demi menjadikan hidupan marin di Negeri Sabah sebagai lokasi ikon pelancongan yang kaya dengan keindahan ekosistem lautnya.

“Salah satu contoh terdekat dengan Sandakan adalah Taman Pulau Penyu yang terletak 40km di utara Sandakan. Ianya merupakan satu taman marin seluas 1,740 hektar dan merangkumi rangkaian kepulauan Selingan, Gulisan dan Bakungan Kechil. Dua spesis penyu iaitu penyu Hijau (Green turtle) dan penyu Sisik (Hawksbill) adalah sebahagian daripada keunikan taman marin ini di mana sepanjang tahun, penyu-penyu ini akan mendarat dan bertelur pada waktu malam. Keunikan dan keindahan Taman Pulau Penyu adalah antara daya tarikan pelancong ke negeri ini,” kata beliau.

Jabatan Perlindungan Alam Sekitar bersama-sama dengan WWF-Malaysia telah melaksanakan tiga bengkel di Kota Kinabalu, Kudat dan Tawau baru-baru ini dan selepas Sandakan, bengkel terakhir akan diadakan di daerah Semporna bagi melengkapkan siri jelajah bagi membolehkan para pelajar, guru-guru dan wakil-wakil komuniti di daerah-daerah berkenaan mengambil bahagian menggunakan modul dan boardgames berkenaan.

Wisma Budaya, 1-3 Floor, Tunku Abdul Rahman Road, Locked Bag 2078, 88999 Kota Kinabalu, Sabah.

TELEPHONE : +60 88 251 290 / 251 291

FAX : +60 88 238 120

EMAIL: jpas@sabah.gov.my

Disclaimer:  The Department shall not be liable for any loss or damage caused by the usage of any information obtained from this Website

BEST VIEWED WITH CHROME, MINIMUM RESOLUTION OF 1024 X 768

PRIVACY POLICY

SECURITY POLICY

WEBSITE LAST UPDATED ON 16 AUGUST 2019