PENINGKATAN KESEDARAN MASYARAKAT TENTANG PENDIDIKAN ALAM SEKITAR PERLU DITERUSKAN

KOTA KINABALU: Usaha meningkatkan pengetahuan dan kesedaran komuniti terhadap kepentingan pendidikan alam sekitar perlu diteruskan walaupun masih banyak isu-isu dihadapi seperti pencemaran dan sebagainya.

Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan, dan Alam Sekitar, Assaffal P. Alian berkata kajian yang dijalankan untuk menghasilkan modul dan permainan papan (boardgames) mengenai persekitaran marin menjadikan ia salah satu bentuk alat bantu mengajar program pendidikan alam sekitar.


Beliau berharap usaha Jabatan Perlindungan Alam Sekitar itu dapat digunakan secara efektif untuk mempertingkatkan kesedaran mengenai kepentingan persekitaran marin dan alam sekitar secara amnya.

Melihat usaha yang dijalankan itu, Assaffal berkata menjaga alam sekitar bukanlah menjadi tugas kerajaan semata-mata tetapi menjadi tanggungjawab setiap lapisan masyarakat.

“Setiap lapisan masyarakat memainkan peranan penting dalam melaksanakan tanggungjawab masing-masing dan perlu turut serta menjayakan aktiviti menjaga, melindung dan memulihara alam sekitar.

“Dalam usaha melindungi dan memulihara alam sekitar, bukan pihak kerajaan sahaja yang harus dipertanggungjawabkan, tetapi semua golongan masyarakat perlu melaksanakan dan mengambil tindakan untuk melindungi alam sekitar.


“Muafakat daripada semua pihak amat penting dan amat dihargai oleh pihak kerajaan,” katanya ketika berucap merasmikan Bengkel Modul dan Permainan Papan (Boardgame) Pendidikan ALam Sekitar Bagi Persekitaran Marin untuk Komuniti Sabah (EEMBO) di The Palace Hotel, pada Selasa.

Beliau menegaskan bahawa sekiranya pencemaran marin tidak terkawal, produktiviti biologi lautan akan terganggu, sekali gus boleh menyebabkan masalah hasil tangkapan laut berkurangan dan juga kepupusan pelbagai hidupan marin.

Menurutnya persekitaran marin memberikan pelbagai kepentingan seperti sumber pendapatan, makanan, warisan semula jadi dari segi flora dan fauna, rekreasi dan pelancongan, sebagai identiti komuniti serta sumber inspirasi untuk kesenian.

“Contohnya, antara aset utama yang menjadikan ekosistem laut seimbang adalah melalui terumbu karang yang menarik dan menakjubkan.

“Di dalam terumbu karang, pelbagai spesies marin yang menjadikan sebagai sumber makanan, habitat, tempat berlindung dan sebagainya.

“Penyertaan komuniti setempat dalam membantu usaha perlindungan dan pemuliharaan amatlah penting demi menjadikan hidupan marin di dalam negeri sebagai lokasi ikon pelancongan yang kaya dengan keindahan ekosistem lautnya,” jelasnya.

Tegasnya hal berkenaan mampu menjadikan Sabah sebagai contoh kepada kawasan pelancongan lain di dalam negara untuk sama-sama berusaha memupuk nilai cintakan alam sekitar. -SabahNewsToday

Source: https://www.sabahnewstoday.com/peningkatan-kesedaran-masyarakat-tentang-pendidikan-alam-sekitar-perlu-diteruskan/

Wisma Budaya, 1-3 Floor, Tunku Abdul Rahman Road, Locked Bag 2078, 88999 Kota Kinabalu, Sabah.

TELEPHONE : +60 88 251 290 / 251 291

FAX : +60 88 238 120

EMAIL: jpas@sabah.gov.my

Disclaimer:  The Department shall not be liable for any loss or damage caused by the usage of any information obtained from this Website

BEST VIEWED WITH CHROME, MINIMUM RESOLUTION OF 1024 X 768

PRIVACY POLICY

SECURITY POLICY

WEBSITE LAST UPDATED ON 16 AUGUST 2019